MY PROFILE
imahsolehah
org ganu kiter* lahir 27mac87* stylish,solehah, sensitif,smile,sweet..:D

Sunday, August 28, 2011

55 ahli perniagaan terkemuka berkampung di KL


Seramai 55 ahli perniagaan terkemuka dunia akan berkampung di Kuala Lumpur pada 12 hingga 14 September ini bagi menghadiri persidangan tahunan Forbes Global CEO Conference.

Persidangan berkenaan bertujuan membina rangkaian perhubungan antara individu terkaya dunia serta membincangkan keadaan semasa ekonomi dunia.

Antara individu yang akan hadir ialah Pengerusi dan Ketua Editor Media Forbes, Steve Forbes; Pengerusi China Hangzhou Wahaha Group, Zong Qinghou; Ketua Pegawai Eksekutif CIMB, Datuk Seri Nazir Razak; Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd., Tan Sri Tony Fernandes.

Dianggarkan jumlah kekayaan individu yang hadir pada persidangan kali ini ialah AS$120 bilion (RM360 bilion), sekali gus menjadi persidangan seumpamanya yang terbesar di dunia.

Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Forbes Global CEO Conference yang akan diadakan di Hotel Shangri-La di sini turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

''Lebih kurang 80 peratus individu yang hadir pada persidangan tersebut tidak mempunyai perniagaan atau pelaburan di Malaysia dan ini merupakan peluang terbaik untuk mendedahkan peluang-peluang yang ada di sini.

''Walaupun pelaburan sangat diambil berat, namun tujuan utama persidangan ini adalah untuk menjalin hubungan antara peserta,'' katanya pada sidang akhbar berkenaan persidangan berkenaan di sini hari ini.

Mustapa berkata, daripada peserta yang hadir, sebanyak 67 peratus daripadanya adalah dari Asia Pasifik diikuti Amerika Syarikat sebanyak 20 peratus dan selebihnya Eropah.

Ditanya mengenai kemasukan pelaburan hasil persidangan berkenaan, Mustapa berkata, ketika ini beliau telah berjumpa secara peribadi dengan enam individu untuk tujuan itu tetapi tiada keputusan dibuat.

''Kami tidak menetapkan sebarang sasaran pelaburan atau perjanjian memorandum persefahaman (MoU) daripada persidangan ini,'' jelasnya.

27Ogos2011
berita : utusan

0 comments:

BlogUpp!