MY PROFILE
imahsolehah
org ganu kiter* lahir 27mac87* stylish,solehah, sensitif,smile,sweet..:D

Friday, August 5, 2011

Lelaki Tukar Jantina Meninggal







Luahan Hati Ashraf

Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, 25, yang gagal menukar nama dan status jantina dalam MyKad kepada Aleesha Farhana selepas ditolak Mahkamah Tinggi di sini kelmarin, mengakui tertekan dengan pandangan negatif masyarakat terhadapnya, tetapi tidak akan patah semangat untuk terus memperjuangkan hasratnya itu.

Sambil menyatakan mahu membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah itu, dalam sebak, Mohd Ashraf yang lebih mesra dipanggil Aleesha berkata, jika masyarakat tidak dapat menerima keadaannya berdasarkan pelbagai kutukan dan hinaan yang diterima termasuk menerusi laman sosial Facebook, beliau rela dibunuh jika itu penyelesaian terbaik.

“Suka atau tidak, perjuangan perlu diteruskan sehingga semua wadah perundangan tiada lagi. Ramai mahu saya berdiam diri daripada masalah ini, tetapi saya mahu kehidupan yang aman,” katanya dalam satu pertemuan di sini, semalam sambil ditemani ibu bapanya.

Mohd Ashraf membuat permohonan menukar jantina di Mahkamah Tinggi pada 25 Mei lalu bagi memudahkannya diterima masuk ke universiti tempatan untuk menyambung pelajaran, selain kesukarannya menjalani kehidupan sebagai seorang wanita dengan status lelakinya.

Menceritakan punca permohonannya ditolak, beliau mengakui tidak mendapat bantuan perundangan yang kukuh ketika mengemukakan permohonan, malah ketika peguam Horley Isaacs menawarkan diri membantu, pendengaran kes itu sudah sampai penghujungnya.

Apa perasaan ibu bapa Ashraf?

 “Jika kematian adalah penyelesaian, tolonglah ambil nyawanya, tapi (sebelum itu) ambil nyawa saya dan suami dulu kerana kami juga sebahagian daripada punca masalah ini,” kata ibu Mohd Ashraf Abd Aziz, 25, yang permohonannya untuk menukar nama kepada Aleesha Farhana ditolak Mahkamah Tinggi di sini, kelmarin.
Wanita berusia 50 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Mak Yah berkata, hati dia dan suami, Abd Aziz, 60, cukup terguris apabila ada pihak tergamak mendoakan kematian Mohd Ashraf seperti disebarkan melalui blog serta laman sosial di Internet.

“Ada yang menyebut lebih baik dia mati, tapi ambillah nyawa saya dan suami dulu,” katanya pada pertemuan di rumahnya di Kampung Telaga Daing dekat sini, semalam. Kelmarin, Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa ketika menolak permohonan Mohd Ashraf berkata, biarpun dia sudah menjalani pembedahan menukar jantina di Thailand pada 2009, ia tidak boleh dijadikan hujah untuk mahkamah menerima permohonannya. Dengan nada sinis Mak Yah berkata, memang mudah melemparkan pelbagai tohmahan terhadap keluarganya, tetapi tiada siapa tahu penderitaan ditanggung mereka sekeluarga.

“Cuba bayangkan jika mereka berada di tempat kami,” katanya yang mengakui dia dan suami amat tertekan dengan pandangan orang ramai yang menuduh mereka gagal menjadi ibu bapa yang baik.
“Kami sedih dengan tohmahan sesetengah pihak termasuk media apabila ada beranggapan kami membelakangkan Tuhan dengan menyokong keputusan Mohd Ashraf menukar nama dan jantina dalam kad pengenalannya.

“Hakikatnya kami sekeluarga tidak pernah menyokong tindakannya dan amat terkejut bila dia membuat pembedahan menukar jantina sehingga kami pernah tidak mengakuinya anak,” katanya.
Mak Yah mengakui dia menyedari Mohd Ashraf memiliki ciri-ciri kewanitaan sejak bayi lagi, namun terkejut apabila anaknya melakukan pembedahan jantina pada 2009 dan ketika itu dia dan suami menunaikan haji di Makkah.
“Kami berada di Makkah mengerjakan haji ketika itu dan sepanjang pengetahuan kami, dia bekerja di Putrajaya,” katanya.

Menurutnya, Mohd Ashraf tidak memberitahu mereka mengenai ujian perubatan dan hormon dilakukannya di Pusat Perubatan Pantai di Kuala Lumpur dua tahun sebelum pembedahan itu.

“Disebabkan terlalu marah, kami bakar semua pakaiannya dan memberitahunya supaya jangan pulang ke rumah lagi, tetapi kami tahu dia kerap pulang, cuma bermalam di dalam keretanya tanpa masuk ke rumah,” katanya.
Sementara itu, Abdul Aziz yang juga bekas tentera berkata, dia tidak mempunyai masalah mendisiplinkan anak, tetapi buntu menghadapi masalah membabitkan Mohd Ashraf.

“Adiknya pernah memotong rambutnya (Mohd Ashraf) seperti tentera, tetapi kami tetap melihatnya seperti seorang wanita, bezanya hanya rambut dia pendek.
“Saya menyedari kami perlu menangani masalah ini dan bukannya berterusan menafikannya kerana kami masih mempunyai Mohd Ashraf yang lama,” katanya.
Menurutnya, masalah itu mungkin boleh dielak jika dia mendapatkan pandangan pakar mengapa Mohd Ashraf tidak mempunyai karakter lelaki ketika membesar.
“Suaranya tidak berubah menjadi garau ketika dia meningkat remaja dan gayanya berjalan juga seperti wanita, tetapi ketika itu saya tidak terlintas akan timbul masalah lebih besar,” katanya Abdul Aziz berkata, jika kesilapan membesarkan anak menjadi punca Mohd Ashraf mahu menjadi wanita, dua anak angkatnya yang lebih tua sepatutnya menghadapi masalah sama.
“Anak angkat lelaki dan perempuan saya tidak mempunyai masalah, begitu juga adik lelaki dan perempuan Ashraf,” katanya.

Meskipun mendengar mengenai kewujudan fatwa oleh Jakim yang membenarkan seseorang yang jantinanya diragukan menjalani pembedahan pertukaran jantina, Abdul Aziz berkata, dia tidak pasti bagaimana perkara itu boleh dilakukan kerana tiada garis panduan.

“Keputusan ujian perubatan menunjukkan dia mempunyai lebih banyak hormon perempuan berbanding lelaki. Bolehkah fakta ini menyokong permohonannya? Saya harap perkara seperti ini dijelaskan dengan terperinci dan layak diberikan pertimbangan,” katanya.

Mohd Ashraf pula berkata, dia menerima keputusan Mahkamah Tinggi dan akan mengemukakan rayuan.
“Selagi ada ruang mengikut peruntukan undang-undang, saya akan merayu. Orang mungkin berharap saya diam terus atau mati, tetapi saya hanya mahu menjalani kehidupan yang aman,” katanya.

Lelaki Tukar Jantina Meninggal

Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, yang gagal dalam permohonan menukar namanya kepada Aleesha Farhana, meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, 5 pagi Sabtu.

Beliau dimasukkan ke hospital itu 3 pagi semalam setelah mengalami masalah jantung dan tekanan darah rendah.

Bapanya, Abdul Aziz Ahmad, 60, ketika dihubungi berkata jenazah anaknya itu dijangka dikebumikan selepas waktu Zohor.

Katanya beliau menunggu kepulangan anggota keluarga yang lain untuk membincangkan di mana jenazah allahyarham akan dikebumikan.

Semalam, doktor mengesahkan anaknya itu mengalami serangan jantung yang tidak stabil atau 'unstable angina with cardiogenic shock'.

Katanya Mohd Ashraf Hafiz, 25, sebelum ini mengalami kemurungan selepas permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk menukar kepada nama wanita, ditolak pada 18 Julai lalu.

Mohd Ashraf Hafiz yang berasal dari Seberang Takir, di sini, memohon untuk menukar nama di dalam MyKadnya kepada Aleesha Farhana Abdul Aziz setelah beliau melakukan pembedahan menukar jantina di Thailand dua tahun lalu. BERNAMA. Sabtu Julai 30, 2011

Permohonan itu dibuat bagi memudahkannya diterima masuk ke university tempatan untuk menyambung pelajaran dan kesukarannya menjalani kehidupan sebagai seorang wanita. Sementara itu, bapanya berkata beliau telah dihubungi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berhubung permohonan anaknya untuk ditempatkan di asrama wanita sekiranya permohonannya memasuki universiti tempatan, diterima.Katanya, perkara itu masih dalam pertimbangan kementerian berkenaan

Kuala Terengganu
Ref: Berita Harian.Metro.Mstar.


Fatwa :  Mufti Negeri Melaka

Kategori  : JENAZAH/KUBURAN
Tajuk : Mandi jenazah yg telah tukar jantina
Soalan  : Bagaimana hendak memandikan dan menyembahyangkan jenazah seseorang yang menukar jantina, samada mengikut jantina asal kejadiannya atau jantina pada ketika ia meninggal?

Jawapan  : Alhamdulillah. Salawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam.

Perbuatan pembedahan orang lelaki atau perempuan untuk ditukar anggota jantinanya adalah haram di sisi syarak. Seorang yang dilahirkan lelaki, hukumnya tetap lelaki walaupun dia berjaya ditukarkan jantinanya melalui pembedahan begitu juga sebaliknya. Seorang yang dilahirkan 'khunsa musykil' iaitu ada 2 alat kelamin lelaki dan perempuan, maka diharuskan pembedahan bagi mengekalkan salah satu jantina yang benar-benar berfungsi dan dapat digunakan. Oleh itu, masalah-masalah dan hukum-hukum yang bersabit dengan penukaran jantina seperti perkahwinan, kematian dan warisan dan sebagainya adalah didasarkan kepada jenis kejadian jantina asal seseorang. Sekiranya dia meninggal dunia maka mayatnya ditajhizkan menurut jantina asalnya.

Semoga Allah mengampuni dosa-dosa Allahyarham dan ditempatkan di tempat orang yang beriman. ameen.

0 comments:

BlogUpp!