MY PROFILE
imahsolehah
org ganu kiter* lahir 27mac87* stylish,solehah, sensitif,smile,sweet..:D

Monday, March 5, 2012

Awak suka saya ya?

awak suka saya
tapi saya tak tahu
saya harap awak bersabar
menanti kepastian
saya tak bersedia untuk jatuh cinta!maaf...

Kisah Pencuri dan Hakim yang mengharukan jiwa




Sangat mengharukan, seorang hakim bernama Marzuki di Mahkamah Indonesia berasa sebak dengan penerangan pesalah seorang nenek tua yang mengaku salah mencuri ubi kayu. Di ruang mahkamah pengadilan, seorang hakim duduk termenung menyemak pertuduhan kepada seorang nenek yang dituduh mencuri ubi kayu. Nenek itu merayu bahawa hidupnya miskin, anak lelakinya sakit, dan cucunya kelaparan. Namun pengurus ladang tuan punya ladang ubi tersebut tetap dengan tuntutannya supaya menjadi iktibar kepada orang lain. Hakim menghela nafas dan berkata, “Maafkan saya, bu”, katanya sambil memandang nenek itu. ”Saya tidak dapat membuat pengecualian undang-undang, undang-undang tetap undang-undang, jadi anda harus dihukum. Saya mendenda anda Rp 1 juta (lebih kurang RM350) dan jika anda tidak mampu bayar maka anda harus masuk penjara 2.5 tahun, seperti tuntutan undang-undang”. Nenek itu tertunduk lesu. Namun tiba-tiba hakim menbuka topi hakimnya, membuka dompetnya kemudian mengambil & memasukkan wang Rp 1 juta ke topinya serta berkata kepada hadirin yang berada di ruang mahkamah. ‘Saya atas nama pengadilan, juga menjatuhkan denda kepada setiap orang yang hadir di ruang mahkamah ini, sebesar Rp 50 ribu (lebih kurang RM17), kerana menetap di bandar ini, dan membiarkan seseorang kelaparan sehingga terpaksa mencuri untuk memberi makan cucunya. “Saudara pendaftar, tolong kumpulkan denda dalam topi saya ini lalu berikan semuanya kepada yang tertuduh.” Sebelum tukul diketuk nenek itu telah mendapatkan sumbangan wang sebanyak Rp 3.5 juta dan sebahagian telah dibayar kepada mahkamah untuk membayar dendanya, setelah itu dia pulang dengan wajah gembira dan terharu dengan membawa baki wang termasuk wang Rp 50 ribu yang dibayar oleh pengurus ladang yang mendakwanya.. Kisah ini sungguh menarik dan boleh di "share" untuk menjadi contoh kepada penegak undang-undang di Malaysia agar bekerja menggunakan hati nurani dan mencontohi hakim Marzuki yang berhati mulia ini.

Saturday, February 18, 2012

Romantik

Kata-kata yang mampu diucapkan untuk menggambarkan rasa cinta dan sayang terlalu sedikit, ibarat setitis embun di hujung daun. Demikianlah halnya dalam soal cinta dan kasih sayang antara suami isteri. Selain dari luahan kata-kata, perlu ada cara-cara lain yang tiada hadnya untuk mewujudkan suasana yang mampu menyiram pepohon cinta dan sayang agar terus subur. Di sinilah perlunya diwujudkan suasana romantik. 

Romantik, menurut yang diistilahkan dalam kamus ialah "memperlihatkan suasana penuh kasih sayang, keindahan, kemesraan..." Ia berasal dari kata 'romance' yang bererti "hubungan cinta" atau "percintaan". Ini bererti romantik berkait rapat dengan cinta iaitu sesuatu yang amat penting dalam menjalin hubungan erat suami isteri sepanjang usia perkahwinan. Suasana romantik wujud kerana wujudnya rasa cinta ini. Bila rasa cinta dan sayang antara suami isteri diperlihatkan dalam bentuk kata-kata, sikap dan tingkah laku dalam kehidupan sehari-hari, tercetuslah suasana romantik. Bermakna persoalan romantik akan tetap relevan dan menjadi satu keperluan kepada pasangan sepanjang menjalin perkongsian hidup bersama. Allah berfirman yang maksudnya: "Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari dirimu sendiri, supaya tenteramlah kamu kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa cinta dan sayang..." (Ar-Rum: 21) Dari ayat ini fahamlah kita bahawa rasa cinta dan sayang adalah pemberian Allah yang amat besar nilainya kepada pasangan suami isteri. Bagaimana rasa cinta dan sayang ini diperlihatkan terhadap satu sama lain, di situlah lahirnya suasana yang dikatakan romantik. 

Suami isteri yang dapat mewujudkan suasana seperti ini boleh dianggap bersifat romantik Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. menyebut yang maksudnya: "Kiranya seseorang itu menyintai saudaranya maka hendaklah diberitahukan kepadanya." (Abu Daud, Termizi dan Hakim) Maksud hadis ini, jika kita menyenangi seseorang jangan kita hanya menyimpan di hati, tapi luahkanlah rasa senang itu kepadanya. Ini boleh dikiaskan pada hubungan suami isteri. Oleh kerana hubungan yang unik antara dua insan ini sudah sedia diikat oleh cinta dan sayang, maka wajarlah rasa cinta-menyintai itu diucapkan. Kalaupun tidak dengan kata-kata, hendaklah dengan sikap dan tingkah laku. Ertinya, suami isteri hendaklah bersikap romantik terhadap satu sama lain. Namun begitu, romantik yang sering digambarkan di layar perak tidak semuanya berpijak di bumi nyata. 

Romantik yang dipaparkan oleh kebanyakan filem Barat terutamanya, juga banyak yang tidak sesuai dengan nilai agama dan budaya kita. Lambang-lambang dan aksi romantik yang ditonjolkan seperti berkucupan di tempat umum, makan malam di tempat eksklusif di bawah sinaran cahaya lilin, bergurau senda di taman bunga dan seumpamanya, terlalu sumbang dan canggung bagi masyarakat kita. Malah ia tidak menggambarkan suasana sebenar kehidupan berumah tangga yang dilalui oleh kebanyakan kita. Suasana romantik boleh menjadi penawar pada hubungan suami isteri bila sekali-sekala dilanda badai dugaan dan cubaan. Sedangkan lidah lagi tergigit... Maka tatkala dilanda badai, di situ juga cinta dan sayang teruji serta menagih bukti. Salah satu pihak mesti mula mengorak langkah (make the first move) untuk membaiki semula 'frekuensi' hubungan dua hala yang tergendala. Jika satu pihak sedang marah, satu pihak lagi mesti tenang (cool down) dan diam. Api kemarahan yang sedang menyala tidak boleh dilawan dengan api kemarahan juga, tapi perlu disiram dengan air kesabaran. Oleh itu, kadang-kadang romantik boleh diperlihatkan dengan cara diam dan membisu, bila dengan bersuara dirasakan akan memburukkan hubungan.

Suasana penuh kasih sayang dan kemesraan boleh wujud, umpamanya, dengan hanya sekadar si isteri memberi sedikit ciuman di pipi suami yang hendak keluar bekerja, atau suami mencium dahi isteri sebelum melangkah keluar rumah. Kadang-kadang ia hanya perlu dilahirkan dengan suami membawa pulang sedikit ole-ole dari tugasan luar daerah, atau isteri membekalkan suami haruman daun pandan yang diracik halus ketika suami hendak keluar bertugas. Ataupun dengan cara suami isteri keluar berduaan ke halaman pada larut malam ketika anak-anak telah lena. Rasulullah s.a.w. ada memberi panduan dengan kata-katanya yang bermaksud: "Beri-memberilah sesama kamu, nescaya akan saling cinta-menyintai antara kamu." (Riwayat al-Baihaqi) Pemberian suami kepada isteri, atau isteri kepada suami mungkin berupa pakaian, makanan, barang cenderamata dan sebagainya. Tapi bukan mahal atau murah, kecil atau besar pemberian itu yang akan menjalin erat rasa kasih dan sayang, sebaliknya tanda ingatan dan tanda sayang yang terpancar pada pemberian itu sendiri. Pendek kata, untuk mewujudkan suasana romantik dalam rumah tangga, kita dan pasangan kita bebas memperlihatkan atau melahirkan rasa cinta melalui apa cara pun, asalkan ia bakal membahagiakan pasangan kita dan memperlihatkan rasa kasih kita kepadanya. Caranya terpulang pada kesesuaian dan citarasa masing-masing. Ada yang suka dengan cara bermanja-manja atau sentimental, tapi ada yang suka cara berterus-terang dan terus pada maksud (straight forward). Lain orang, lain cara dan gayanya. Asalkan batas syariat dan akhlak dijaga. Maruah dan kehormatan dipelihara. 

 SENDAL 1: "Dalam Islam perkataan romantik sebenarnya tidak wujud. Ini kerana perkataan romantik atau romance itu berasal dari perkataan Latin yang pada asalnya lebih banyak menceritakan kisah-kisah indah, alam fantasi dan juga fairy tales. Namun ia tetap boleh diserapkan sebagai melengkapkan lagi kehidupan kita mengikut konsep yang dianjurkan oleh Islam," ulas Dr. Mashitah Ibrahim, pensyarah dan Pembantu Profesor di Kuliyyah Ilmu Wahyu, UIA kepada wartawan majalah Anis. "Dalam Islam romantik lebih kepada satu daya cipta yang kita lahirkan melalui perlakuan-perlakuan yang menampakkan sebagai tanda kasihnya seseorang kepada temannya. Bagaimanapun, masih ramai di kalangan masyarakat kita yang tidak mengetahui konsep ini." Menurut beliau, romantik dalam Islam terhad kepada pasangan yang sudah berkahwin sahaja iaitu mereka yang telah mempunyai hubungan yang halal. "Inilah yang membezakan konsep romantik Islam dan konsep romantik Barat. Di Barat, mereka bebas melakukan apa sahaja tanpa apa-apa batasan. Sebaliknya dalam Islam, mereka perlu mempunyai tiket terlebih dahulu sebelum konsep romantik itu dapat dihayati sepenuhnya." Menurutnya lagi, konsep romantik dalam Islam merupakan satu perkara yang kekal dan tetap iaitu hubungan yang terjalin itu akan terus membawa ke jinjang pelamin. Oleh itu, tidak wujud konsep cinta monyet, cinta suka-suka dan sebagainya. Ini kerana perhubungan sebegini hanya cenderung untuk memuaskan nafsu semata-mata dan tidak berkekalan. 

 SENDAL 2: Romantik Siti Khadijah. Mungkin kisah romantik paling agung ialah antara Rasulullah dan isterinya Siti Khadijah r.ha. Ketika Rasulullah pulang ke rumah dengan mengalami keadaan yang luar biasa selepas menerima wahyu pertama, Siti Khadijah menyelimutinya. Siti Khadijah duduk di sebelah baginda dan meluahkan bait-bait kata yang lunak dan mententeramkan. Rasulullah tidak pula merahsiakan pengalamannya di Gua Hira' itu, tetapi bersikap terbuka menceritakan detik-detik mencemaskan yang dialaminya. Sikap terbuka dan tawaduk Rasulullah serta sifat keibuan Siti Khadijah telah melahirkan suasana yang boleh dianggap begitu romantik ketika itu. Tidak hairanlah Rasulullah masih tetap mengenang Siti Khadijah setelah Siti Khadijah lama pergi. 

 SENDAL 3: Romantik Sayidina Umar. Kadang-kadang rasa cinta dan sayang diperlihatkan dengan cara yang unik. Sayidina Umar al-Khattab, sewaktu dibebeli isterinya pada satu ketika, hanya membisu dan tidak membalas sepatah pun. Paling-paling beliau hanya tersenyum. Bila diselidiki oleh seorang Sahabat, ternyata itulah cara Sayidina Umar menghargai layanan dan khidmat bakti isterinya yang begitu setia serta telah sekian lama bersusah payah menguruskan rumah tangganya. Diam beliau adalah diam tanda sayang. Itu merupakan romantik cara Sayidina Umar. Dibiarkannya isterinya membebel untuk meluahkan perasaannya. Bebelan isterinya juga adalah bebelan sayang, bukan marah-marah yang menjatuhkan maruah dan tidak sampai ke tahap derhaka pada suami.

BlogUpp!